Pages

Program Smart Solat 2010

Program ini telah diadakan selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Jun 2010 bersamaan 4 & 5 Rejab 1431H (Khamis dan Jumaat). Bermula 8.30 pagi (Khamis) hingga 2.00 petang (Jumaat), bertempat di Surau Taman Jasmin. Penyertaan adalah terbuka kepada remaja islam Taman Jasmin dan taman-taman sekitarnya, berumur 10 hingga 15 tahun. Ia telah dianjurkan bersama Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Badan Kebajikan & Khairat Kematian Taman Jasmin, Surau Taman Jasmin dan PEMADAM Unit Taman Jasmin serta Kawasan Rukun Tetangga Taman Jasmin. Peserta yang menyertai program ini telah dikenakan bayaran yuran penyertaan sebanyak RM 10.00.

Penyertaan pada tahun ini amat menggalakkan iaitu seramai 65 orang remaja lelaki dan 28 orang remaja perempuan yang menyertai program ini. Para peserta dikehendaki membawa bantal, selimut dan kelengkapan diri yang lain semasa program ini dijalankan.

Pada hari pertama  program selepas pendaftaran, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Ustaz Khairul Nizan Bin Haji Mohd Idris, Penolong Pegawai Tadbir Agama,Pegawai Hal Ehwal Islam/Pendaftar, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat. Pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang diadakan ceramah yang bertajuk "Solat dan Kepentingannya Dalam Membentuk Keperibadian Muslim" yang disampaikan oleh Ustaz Musa Bin Baharudin. Selepas makan tengahari dan solat zohor diadakan pula bengkel dan halaqah yang didalamnya peserta dapat belajar cara-cara berwuduk dan solat dengan betul. Pada sebelah malamnya pula selepas solat maghrib diadakan pula kuliah maghrib yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Amin Bin Haji Hussin. Pada jam 9.30 pula diadakan bengkel dan halaqah yang mana para peserta diajar cara-cara bersolat. Program hari pertama tamat pada jam 10.30 malam.


Peserta program tidak dibenarkan balik kerumah, sebaliknya peserta dikehendaki tidur didalam surau bagi peserta lelaki. Manakala peserta perempuan tidur didalam Dewan Sekolah Rendah Agama KAFA Integrasi Taman Jasmin.

Pada hari kedua, program telah dimulakan dengan Qiamulai bermula pada jam 4.30 pagi yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Fazri Bin Haji Ismail, Imam Besar Masjid Jame’ Pekan Kajang. Beliau juga telah memimpin solat subuh dan kuliah subuh. Selepas sarapan pagi, telah diadakan sesi rumusan dan penilaian para peserta. Program berakhir selepas solat jumaat.