Pages

Kursus Pengurusan Jenazah Perdana Siri 1/2010

Kursus ini telah dijalankan pada 08hb. Mei 2010 bersamaan 23 Jamadilawal 1431H (Sabtu), bertempat di Surau Taman Jasmin. Ia telah dianjurkan bersama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, Badan Kebajikan & Khairat Kematian Taman Jasmin dan Surau Taman Jasmin serta PEMADAM Unit Taman Jasmin. Kursus ini bermula dari pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang. Kursus ini telah dihadiri peserta seramai 42 orang lelaki dan 42 orang wanita serta 4 orang remaja.

Tentatif kursus dimulakan dengan pendaftaran dan selepas itu ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dato Haji Mohamed Zain Bin Zakaria, YDP Badan Kebajikan & Khairat Kematian Taman Jasmin. Manakala perasmian telah disempurnakan oleh Ybhg. Al-Fadhil Ustaz Haji Mohamad Amin Bin Haji Hussin, Pegawai Tadbir Agama Islam/Pendaftar Kanan, PAID Hulu Langat.

Selepas perasmian, diadakan ceramah yang bertajuk " Menziarahi Pesakit Dan Menghadapi Kematian" yang disampaikan oleh Ustaz Haji Md. Baharudin Bin Giman, Unit Pengurusan Dakwah, PAID Hulu Langat. Dibahagian praktikal pihak penganjur telah menjemput Ustaz Kamarul Asmawi (praktikal lelaki) dan Ustazah Zaidah (praktikal wanita). Antara praktikal yang dijalankan adalah seperti penyediaan kain kafan, memandikan dan mengkafankan serta solat jenazah.

Objektif kursus yang ingin disampaikan ialah kematian adalah satu kepastian bagi makhluk yang bernyawa redha atau tidak, bersedia atau sebaliknya ianya pasti kita akan hadapi. Oleh itu kursus Pengurusan Jenazah ini adalah satu program bagi menarik lebih ramai penduduk pelbagai lapisan agar memahami bagaimana penyelenggaraan dan pengurusan jenazah dengan cara yang betul, serta mendidik agar masyarakat dapat meningkatkan kefahaman hukum-hukum Fardu Kifayah.

Kursus ini juga bertujuan merealisasikan pembentukan jiwa ‘keluarga’ serta sahsiah, dari segi kebertanggungjawab terhadap keluarga dan insan yang lain. Membina keyakinan diri dalam menghadapinya, sekiranya berlaku kematian baik keluarga atau pun jiran setempat. Ilmu pengurusan jenazah ini perlu diterapkan kepada setiap jiwa (insan) yang bergelar manusia yang beriman kepada Allah kerana yang hidup pasti mati